fbpx

Program 50 Qari 50 Jam UTM cari keberkatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM yang dianjurkan ini dilihat dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan sebagai bulan membaca al-Quran.

DALAM meraikan sambutan 50 tahun penubuhannya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tekad untuk menjayakan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dengan menyumbang keilmuan berimpak tinggi kepada pembangunan negara.

Justeru, baru-baru ini, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) dengan kerjasama Persatuan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) cawangan UTM menganjurkan program tadarus al-Quran dikenali sebagai 50 Qari 50 Jam.

Program bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh 50 qari selama 50 jam itu dilaksanakan selama tiga hari bermula dari 14 hingga 16 April lalu.

Pengarah program, Muhammad Badrul Amin Abdul Rashid berkata, qari yang dipilih terdiri daripada 10 orang staf, 15 pelajar antarabangsa dan 25 pelajar tempatan.

Menerusi program tersebut, kesemua mereka perlu mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran secara terus-menerus dan bergilir mengikut jadual yang ditetapkan.

“Qari hanya akan berhenti membaca al-Quran pada waktu solat, sahur dan berbuka sahaja. Mereka dibahagikan kepada lima orang dalam satu kumpulan dan perlu menghabiskan tiga juzuk ketika mengalunkan pembacaan.

“Terdapat 10 kumpulan yang mengalunkan bacaan dan jika didarabkan dengan tiga juzuk bagi setiap kumpulan, maka akan habislah sebanyak 30 juzuk,” katanya.

MENGAMBIL keberkatan Ramadan, UTM menganjurkan program tadarus al-Quran sempena sambutan 50 tahun penubuhannya.

Menurut Muhammad Badrul Amin, matlamat utama penganjuran program itu adalah bagi menyokong program Semarak Ramadan 2022 anjuran PIUTM, di samping mengimarahkan masjid dengan program bacaan al-Quran.

Program itu juga menerapkan elemen ISES iaitu integriti, sinergi, kecemerlangan (excellence) dan juga kelestarian (sustainability).

“Pecahan elemen ISES diterapkan dalam program ini.

“Para qari seharusnya mempunyai sifat integriti dan juga bersinergi, yang mana mereka hendaklah bekerja secara berkumpulan untuk menghabiskan bacaan.

“Mereka juga seharusnya mempunyai kemahiran membaca serta berpengetahuan dalam aspek ilmu tajwid, iaitu pembacaan al-Quran dengan baik dan betul, di samping menghabiskan 30 juzuk dalam tempoh yang ditetapkan iaitu tiga hari,” tambahnya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail di Masjid Sultan Ismail, UTM kampus Johor Bahru.

Turut hadir ketika perasmian program adalah Pengarah PIUTM, Prof. Dr Arieff Salleh Rosman dan timbalannya, Dr. Mohd Nasir Masroom.

Bertapak seawal tahun 1904, dari Sekolah Teknik Treacher yang kemudian dinaik taraf kepada Maktab Teknik pada 1946, institusi ini dinaik taraf kepada Institut Teknologi Kebangsaan berstatus Universiti pada tahun 1972 .

Seterusnya ia mencipta sejarah apabila diisytiharkan dengan nama baharu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Badlishah.

Bertitik tolak daripada pengiktirafan oleh kerajaan kepada UTM sebagai Universiti Penyelidikan pada tahun 2010, universiti tersebut terus melangkah lebih jauh dalam menghasilkan produk penyelidikan berimpak tinggi.

Ini untuk dimanfaatkan masyarakat, terutamanya dalam menaikkan taraf hidup dan menyelesaikan masalah dalam komuniti dengan tidak mengabaikan inovasi dalam pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI