fbpx

Pendingin hawa kenderaan perlu diperiksa enam bulan sekali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Pemeriksaan dan penyelenggaraan sistem penghawa dingin kenderaan masing-masing perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi mengelak insiden tidak diingini.

Itu peringatan dikongsi Majlis Keselamatan Jalan Raya di laman Facebook rasmi mereka hari ini.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kematian meragut nyawa tiga sahabat dipercayai mengalami keracunan gas karbon monoksida di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Permatang Pauh, semalam.

Berdasarkan infografik dikeluarkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu, ramai pemandu yang berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk tidur sebentar sebelum meneruskan pemanduan.

“Namun tahukah anda tidur dalam kenderaan dengan enjin yang masih hidup menyebabkan keracunan gas karbon monoksida.

“Apabila enjin kenderaan dihidupkan dalam masa panjang, kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin penumpang.

“Karbon monoksida tidak berbau dan tidak berwarna jadi anda tidak akan sedar yang anda sedang menyedut gas itu,” katanya.

Katanya, gas karbon monoksida akan mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam tubuh manusia dan menyebabkan kerosakan organ.

Selain itu, katanya, kepekatan gas monoksida yang tinggi dalam darah boleh membunuh.

Dalam pada itu, NIOSH juga menjelaskan bahawa pendapat diberikan segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan boleh mengelakkan keracunan gas bukanlah satu tindakan yang tepat.

“Sebaliknya keluar dari kenderaan dan berehatlah ditempat yang mempunyai kitaran udara yang baik selamat dan segar.

“Sila rancang perjalanan anda. Elakkan tidur dalam kenderaan dengan enjin yang masih hidup kerana boleh menyebabkan keracunan karbon monoksida.

“Sekiranya penat atau mengantuk berhenti berehat di luar kenderaan atau di tempat yang sesuai tanpa membahayakan diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN