KOTA BHARU – Anak Kelantan yang berada di perantauan disarankan agar membuat ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri awal bulan depan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, meskipun saringan itu tidak diwajibkan namun, ia merupakan langkah pencegahan terbaik dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Menurutnya, pada masa sama, rakyat diingat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Meskipun negara sudah memasuki fasa endemik, SOP perlu kekal dipatuhi oleh semua pihak.
“Hal ini penting kerana kita masih belum menang sepenuhnya dalam melawan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan biskut raya kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Kemudi, Majidah Ismail dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kemudi. – KOSMO! ONLINE