fbpx

Sasaran pingat Sukan SEA Hanoi munasabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD FAIZAL

ATLET negara perlu menjadikan Sukan SEA di Hanoi, Viet­nam bulan depan sebagai medan mempamerkan prestasi serta meningkatkan pencapaian bagi penyertaan ke temasya lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran awal 31 pingat emas bukanlah mutlak tetapi sebagai sandaran pencapaian.

Menurut beliau, sasaran yang ditetapkan itu adalah munasabah selepas mempertimbangkan prestasi atlet-atlet negara lain yang mengambil bahagian pada temasya dwitahunan tersebut.

“Kita letak sasaran itu sebab kita nak capai, bukan kita letak untuk seronok-seronok atau kita nak ambil ringan supaya mudah nak capai.

“Saya kira sasaran ini dibuat dengan realistik walaupun saya sendiri seperti orang ramai berharap kita dapat lebih daripada 31,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, Perak semalam.

Jelas Ahmad Faizal lagi, atlet-atlet kebangsaan perlu berusaha bersungguh-sungguh agar mereka dapat meraih pencapaian terbaik untuk bersedia menghadapi kejohanan yang lebih besar.

“Jangan pandang pada Sukan SEA sahaja kerana momentum itu yang kita bawa pada temasya lebih besar di Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini meletakkan sasaran awal untuk memperoleh 31 pingat emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi yang akan bermula 12 hingga 23 Mei depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sasaran ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan itu berdasarkan perkembangan dan perban­dingan prestasi semasa atlet-atlet kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI