PUTRAJAYA – Jenazah Allahyarham Husna Solehah Mohd. Salleh selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Malaysia Mesir di Bilbies, pinggir ibu negara tersebut, Kaherah semalam.
Menurut kenyataan terkini Kedutaan Besar Malaysia di sana, proses pengebumian pelajar yang berasal dari Kelantan itu selesai kira-kira pukul 10 pagi (4 petang waktu Malaysia) Sabtu.
“Urusan pengebumian itu juga dikongsi bersama keluarga di tanah air secara panggilan video,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasmi kedutaan itu.
Duta Besar Malaysia, Zamani Ismail juga berkesempatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pelajar itu dan mereka turut merakamkan terima kasih atas bantuan kedutaan.
Allahyarham merupakan penuntut tahun ketiga jurusan pergigian di Universiti Alexandria di Iskandariah, sebuah bandar pelabuhan terkenal yang terletak 250 kilometer dari Kaherah.
Allahyarham yang berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8 malam kelmarin ketika menjalani rawatan penyakit Tuberkulosis di unit rawatan rapi Hospital Elite di Iskandariah. – KOSMO! ONLINE