SEBELUM adanya Covid-19 yang memaksa dunia dikunci dengan kawalan pergerakan dua tahun lalu, nama dan karier kumpulan 6ixth Sense sebenarnya sudah bertahun tenggelam timbul.
Dalam tempoh itu juga, kumpulan berkenaan ada merancang untuk mengeluarkan single baharu yang diberi judul Tremendous, namun terhalang dek penularan Covid-19.
Kini selepas hampir tiga tahun, kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 itu kembali menongkah hala tuju karier mereka dengan ‘permulaan baharu’.
“Sebenarnya kami merancang nak buat kemunculan semula pada 2019 tetapi tiba-tiba dunia dilanda Covid-19 pada 2020. Single baharu Tremendous patutnya keluar pada tahun itu tetapi ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula.
“Sekarang kami rasakan waktu terbaik untuk lancarkan single ini sekali gus kembali menyambung karier yang dah lama menyepi,” kata vokalis kumpulan itu, Adi Priyo Sambodo atau Adi.
Sementara ujar pemain dram kumpulan itu, Wan atau nama sebenarnya Mohd. Safwan Hasnan, biarpun lagu Tremendous diperam selama dua tahun, namun mereka tidak menukar susunan muzik mengikut peredaran semasa.
Hal ini jelas Wan, lagu tersebut boleh didengar tidak mengira arus zaman kerana sesuai dengan pendirian 6ixth Sense yang tidak mengikut trend.
“Kami tak tukar pun muzik lagu itu sebab boleh didengar sampai bila-bila. Sebab apa yang kami nak sampaikan, ini adalah muzik anak muda.
“Malah, kami pun tak pernah ikut trend. Kami yang tentukan trend sendiri dan jadi ‘trendsetter’,” ujarnya lagi.
Zaman media sosial
Sepanjang tempoh ‘kehilangan’, pastinya kewujudan artis dan kumpulan baharu dalam industri sedikit sebanyak memberi impak terhadap nama mereka dalam industri.
Bagaimanapun, ujar 6ixth Sense, mereka ada cara tersendiri untuk mengekalkan ingatan peminat dengan menubuhkan kumpulan WhatsApp.
Menerusinya, mereka kekal berhubungan dan berkongsi segala perkembangan terkini dengan peminat.
“Kami akui, golongan muda mungkin ada yang tak mengenali kumpulan ini sebab zaman mereka ada ramai artis baharu yang muncul.
“Meskipun sejujurnya kami agak kekok guna media sosial untuk kuatkan jenama dan menarik perhatian peminat baharu tetapi itulah yang kami sedang giat lakukan ketika ini,” kata Wan.
Selain single baharu, kumpulan yang popular dengan deretan lagu hit seperti Tanpa, Tak Bisa Memilihmu, Hari Ini dan Semalam, Khatimah Cinta dan Yang Sempurnakanku merencana konsert jelajah tidak lama lagi.
“Untuk perancangan konsert besar, buat masa ini belum ada tetapi memang sedang dirancang ke arah itu.
“Dalam perancangan konsert besar, kami akan selitkan dengan jelajah konsert di seluruh Semenanjung terlebih dahulu. Insya-Allah selepas raya nanti,” kata Adi.