AKTRES Julia Roberts berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga yang dibina bersama suami, Daniel Moder selama lebih 20 tahun bergelar pasangan suami isteri.
Ujar pelakon berusia 54 tahun itu, rahsia untuk mengekalkan kemanisan dalam perkahwinannya bersama Moder cukup sederhana iaitu dengan memberi ciuman setiap pagi sebagai simbol kasih sayang.
“Walaupun kami sudah melewati usia 50-an, setiap pagi saya masih memberikannya satu ciuman sebagai tanda sayang.
“Selain ciuman, kami juga sering bergaduh ‘manja’ disebabkan hal-hal remeh seperti berebut sinki pada setiap pagi,” ujarnya.
Roberts ketika ditemu bual dalam program SiriusXM juga mendakwa dia dan suami perlu memberikan contoh yang baik terhadap anak-anak supaya mereka melihat ibu bapa sebagai ikon terbaik dalam hidup.
“Saya mempunyai tiga orang anak dan tidak mahu mereka membesar dalam suasana rumah tangga yang teruk,” katanya.