MARAN – Kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 14,000 anggota bomba diarahkan bertugas sempena perayaan Hari Raya Aidilfiti tahun ini sebagai persediaan berhadapan sebarang kemungkinan termasuk kemalangan jalan raya dan bencana.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, kira-kira 20 peratus lagi anggota yang dibenarkan bercuti pula boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa berdasarkan kepada keperluan.
“Pegawai dan anggota akan membuat rondaan berkala di kawasan yang dikenalpasti sebagai ‘hotspot’ berlaku kebakaran terbuka serta kawasan rekreasi tumpuan orang ramai sempena cuti sekolah dan cuti perayaan.
“Ini juga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan pertambahan mendadak kenderaan di jalan raya yang mana bomba membuka bilik gerakan negeri sempena OPS Hari Raya Aidilfitri tahun ini,”katanya selepas Iftar Ramadan Maran Bikers dan Singapore Biker bersama 183 anak yatim dan 117 ibu tunggal di Dewan Terbuka Tengku Muda Pahang di sini semalam.
Menurutnya, setakat ini tiada arahan pembekuan cuti kepada anggota dan pegawai bomba bagi tahun 2022.
Jelasnya kira-kira 20 peratus anggota dan pegawai dibenarkan bercuti setelah mengambil kira pelbagai faktor sebagai ‘hadiah’ kerana bertugas pada tahun lalu. -KOSMO! ONLINE