SAUDARA PENGARANG,
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup istimewa apabila buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun kita dibenarkan untuk pulang ke kampung bertemu keluarga.
Situasi itu bakal menyaksikan jutaan perantau khususnya yang tinggal di ibu kota meninggalkan rumah masing-masing untuk meraikan Syawal bersama orang tua dan sanak saudara di kampung.
Bagi yang tidak meraikan Aidilfitri, mereka akan mengambil kesempatan sempena cuti panjang persekolahan untuk membawa keluarga keluar bercuti.
Apa yang pasti, banyak kawasan kediaman akan menjadi sunyi buat seketika. Jumlah yang tinggal mungkin hanya sekerat dua keluarga, termasuk kumpulan warga asing yang tidak ke mana-mana.
Keadaan ini sekali gus meletakkan rumah-rumah kita sebagai sasaran pihak tidak bertanggungjawab, terutama kumpulan pencuri yang mahu mengambil kesempatan.
Ia bukanlah perkara baharu kerana saban tahun, pihak berkuasa seperti polis awal-awal lagi telah memberi peringatan dan nasihat kepada mereka yang ingin meninggalkan rumah masing-masing untuk pulang ke kampung halaman.
Antara peringatannya adalah meminta penghuni agar memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi memudahkan anggota melaksanakan pemantauan dan rondaan di kawasan perumahan.
Bagi sesetengah taman perumahan, mereka turut mengambil langkah-langkah pencegahan, iaitu melantik dan membayar ‘pasukan keselamatan’ untuk menjaga rumah-rumah mereka.
Apa yang pasti, tanggungjawab menjaga harta benda terletak di bahu kita. Janganlah terlalu alpa dan berseronok untuk berhari raya, sehingga kita membuka peluang kepada pencuri untuk bermaharajalela di ruang tamu rumah kita. Sama-sama kita menjaga keselamatan.
RUSTAM OSMAN
Shah Alam, Selangor