fbpx

Sufian Suhaimi tak terdesak kejar cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUFIAN SUHAIMI

“JIKA tentang cinta, mungkin saya memang orang yang kurang bernasib baik.”

Itu frasa yang terbit daripada bibir Sufian Suhaimi tatkala memulakan bicara tentang hubungan cintanya yang beberapa kali terkandas di tengah jalan.

Sepintas lalu, nada suara penyanyi yang terkenal menerusi lagu Di Matamu itu kedengaran seperti reda dengan ketentuan hidupnya.

Merenung jauh ke dalam lubuk hati, hanya empunya badan yang faham apa yang dilalui.

Namun, siapa tahu, penyanyi berusia 30 tahun itu sebenarnya sekali lagi melalui fasa putus cinta bersama seorang wanita. Luka hatinya masih baru, cintanya terlerai sekitar Disember lalu.

“Sebenarnya saya baru sahaja putus cinta dua minggu sebelum mengerjakan umrah pada Disember lalu.

“Hubungan tersebut sudah terjalin sejak tahun 2019 tetapi saya tidak pernah berkongsi kepada umum,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

SUFIAN mengakui, cintanya kandas di tengah jalan dua minggu sebelum memulakan kembara rohani ke Tanah Suci hujung tahun lalu.

Akuinya, luka cinta tidak kesampaian masih dalam tempoh penyembuhan. Tidak mudah bagi Sufian untuk melupakan segala kenangan bersama wanita yang pernah mendiami hatinya selama tiga tahun.

Tidak berselindung, anak kelahiran Johor itu mendedahkan antara hubungan cintanya terlerai ialah disebabkan keluarga.

“Kami putus kerana isu keluarga, rasa sakit itu masih tersisa kerana sudah lama bersama tetapi akhirnya terlerai jua.

“Sekarang saya masih dalam tempoh penyembuhan jiwa atau move on dan luka juga masih basah.

“Bukan mudah nak lupakan seseorang yang pernah bertakhta di hati tetapi apakan daya, perlu reda dengan takdir yang sudah ditentukan Tuhan.

“Mungkin rezeki untuk hubungan cinta yang kekal hingga ke syurga masih belum berpihak kepada saya,” tuturnya tenang.

Tidak mengejar cinta

Ditanya sama ada pernah berasa tertekan hidup sebagai lelaki bujang, terutama ketika ramai rakan seperjuangan sudah berumah tangga, jawapan Sufian ringkas, tidak!

“Tidaklah mahu melabel diri sebagai malang sebab belum berkahwin tetapi ada juga rasa tempias apabila kawan-kawan lain sudah bergelar suami.

“Namun, perkara tersebut tidaklah meletakkan diri saya dalam keadaan tertekan. Iyalah siapa yang tak mahu kahwin,” ujarnya lagi.

MASIH terluka, namun dalam masa sama mahu melupakan kisah putus cinta, Sufian terbuka menerima kehadiran wanita untuk mengisi kekosongan hatinya.

Tiada sebarang kriteria mahupun cerewet dalam mencari wanita idaman, Sufian mengakui terbuka untuk mengenali mana-mana wanita yang hadir selepas ini.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang ciri-ciri khas tentang calon isteri tetapi sebaik-baiknya biarlah elok budi pekerti.

“Buat masa ini, saya hanya ingin fokus dengan karier sebagai penyanyi dan mengembangkan lagi bisnes.

“Kalau boleh, tak mahu terlalu mengejar cinta atau terdesak mencari pasangan hidup. Biarlah semuanya hadir dengan sendiri,” kata pelakon drama Kampung Kolestrol itu jujur.

Khatam al-Quran

Bercerita mengenai Ramadan, pelantun lagu Terakhir itu menyasarkan untuk khatam al-Quran menjelang hujung Ramadan tidak lama lagi.

“Sasaran saya apabila tiba bulan Ramadan kali ini ialah hendak khatam al-Quran. Itu perkara yang paling saya nanti-nantikan setiap kali tiba bulan mulia ini.

“Setiap hari saya sasar membaca 20 muka surat dan jika terkurang, saya akan gantikannya pada keesokan hari.

“Selalunya saya lakukan dengan lima muka surat selepas solat.

“Untuk merealisasikan perkara tersebut, kena disiplin dan tak boleh tinggalkan solat. Itulah kuncinya,” ujarnya.

DUA tahun beraya di Kuala Lumpur, tahun ini, Sufian pulang ke kampung halamannya di Johor seminggu sebelum 1 Syawal.

Sedikit mengenai persiapan raya, Sufian merancang untuk pulang ke kampung halaman seminggu sebelum 1 Syawal.

“Tahun ini lebih teruja nak beraya sebab sudah dua tahun semua tak dapat merasai suasana Hari Lebaran yang sebenar.

“Insya-Allah jika tiada halangan, saya akan pulang seminggu lebih awal. Rasa tak sabar nak jumpa sanak saudara selain melawat pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI