PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah bersyukur apabila dua orang anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah berkelakuan baik sepanjang berada di Tanah Suci Mekah bagi menyempurnakan ibadah umrah.
“Bismillahimasyaallah I’m a proud mama of these two kids. (Saya ibu yang paling berbangga kepada dua anak ini). Moga jadi anak yang soleh dan solehah.
“At first, I was really scared (pada awalnya saya betul-betul takut) macam-macam fikir sebelum nak bawa dua anak yang aktif jauh-jauh begini.
“Boleh jaga ke ni? Anak-anak nanti behave (berkelakuan baik) tak? Alhamdulillah, saya buat keputusan pergi sahaja bawa mereka. Allah akan permudahkan urusan itu. Takut apa semua letak tepi.
“Syukur, Syaikhul dan Sumayyah behave, anak-anak yang dengar cakap tak banyak songeh. Alhamdulillah Allah mudahkan urusan Sarah dan anak-anak di sini,” luahnya menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram miliknya.
Perkongsian pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu menerima pelbagai reaksi netizen dan rakan artis apabila rata-rata memuji sikap kedua-dua anaknya yang pandai menjaga kelakuan.
“Kagum tengok cara didikan Sarah kepada anak-anak. Insya-Allah mereka jadi anak yang taat kepada kedua ibu bapa.
“Kami selalu terfikir bagaimana nak jaga kedua-dua anak yang masih kecil di sana. Tapi ternyata, kak Sarah mampu lakukannya,” tulis netizen.
Khamis lalu, Puteri Sarah dan kedua-dua anaknya berlepas ke Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah di sana.
Untuk rekod, Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengarah popular Syamsul Yusuf pada 8 Mac 2014.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum ini, kisah rumah tangganya dikatakan sedang bergolak hingga menjadi perhatian netizen.
Puteri Sarah, 36, turut mengakui sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul dan dia mendakwa suaminya itu tahu kenapa dia bersikap dingin.
Syamsul dalam satu kenyataan sebelum ini juga mengakui mereka sudah tidak tinggal sebumbung tetapi bukan bermaksud mahu bercerai. – KOSMO! ONLINE