KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket melombong bitcoin secara haram serta merampas 58 set mesin bitcoin dalam serbuan berasingan di dua lokasi, di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan itu dijalankan di sebuah kediaman sekitar Taman Sri Sinar, Segambut dan satu premis perniagaan di Taman Usahawan Kepong.
“Serbuan pertama pada pukul 12.10 tengah malam di sebuah kediaman di Taman Sri Sinar Segambut, membawa kepada penahanan tiga lelaki disyaki dalang aktiviti terbabit.
“Susulan itu, kita merampas 30 unit mesin bitcoin, satu unit desktop, 1 satu unit TP-Link, satu unit komputer riba, lima telefon bimbit serta dua buah kenderaan jenis Toyota Alphard dan Proton Saga,” katanya.
Jelasnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan yang juga pusat operasi melombong bitcoin secara haram.
Mengulas lanjut, menerusi serbuan kedua polis telah merampas 58 set mesin aktiviti melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik yang disyaki dijana secara haram.
“Sementara itu, kita turut merampas masing-masing satu unit monitor, CPU, keyboard, tetikus, router dan unit D-Link,” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 Akta Bekalan Elektrik 1990. – KOSMO! ONLINE