fbpx

PLUS saran pengguna patuhi TTA, elak kesesakan balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya agar mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kesesakan atau tempoh perjalanan lebih panjang sempena musim perayaan pada 29 April hingga 9 Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA direka berdasarkan pola perjalanan trafik musim perayaan untuk mengagihkan kenderaan memasuki lebuh raya secara serentak di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekali gus mengurangkan kesesakan.

“Kita menjangka kira-kira dua juta kenderaan pulang ke kampung halaman meraikan Aidilfitri, ini peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya.

“Kesesakan dijangka berlaku, kami menggesa dan menasihatkan pengguna lebuh raya mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, orang ramai juga disaran untuk menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Map bagi mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

“Bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal sebelum pukul 10 pagi.

“Selain itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas pukul 1 petang,” ujarnya.

Sementara itu katanya, perjalanan pulang ke Lembah Klang bermula 5 Mei hingga 9 Mei ini dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor serta negeri lain dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.

Jelasnya, simulasi pola trafik pada musim perayaan menunjukkan pemandu dari Utara ke Lembah Klang dijangka mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang sekiranya memasuki lebuh raya selepas pukul 9 pagi.

“Tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan jika memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas pukul 9 pagi,” katanya lagi.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI