PETALING JAYA – Tindakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memarahi beberapa pengguna jalan raya yang melanggar lampu isyarat merah di hadapan sebuah sekolah meraih pujian pengguna media sosial.
Walaupun aksi anggota wanita itu kelihatan kasar dengan membaling objek dipercayai kayu dan mengetuk bonet hadapan sebuah kereta, namun tindakan yang dibuatnya itu demi keselamatan pelajar dan ibu bapa di kawasan berkenaan.
Berdasarkan dua klip video yang dikongsi di laman Facebook Inforaodblock up, kelihatan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Ativa dan Toyota Camry tidak berhenti walaupun lampu isyarat bertukar merah.
Tindakan ‘biadap’ kedua-dua pemandu kenderaan itu dilihat boleh membahayakan nyawa pelajar dan ibu bapa yang sedang melintas jalan di hadapan sekolah berkenaan.
Ekoran tindakan tersebut, anggota Rela itu telah membaling kayu ke arah Perodua Ativa dan mengetuk bonet hadapan Toyata Camry berwarna hitam yang nyaris melanggarnya.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan dengan jelas lokasi dan tarikh kedua-dua klip video itu dirakam.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menyokong tindakan yang dilakukan anggota Rela berkenaan dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua kenderaan itu.
“Bagus dia jaga budak-budak sekolah melintas dengan selamat, sila bagi penghargaan anggota Rela terbaik 2022.
“Kurang ajar yang langgar lampu merah tu, mudahan mereka pula nanti kena langgar,” tulis Lee Vitoni.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ah Seng.
“Sokong akak Rela, depan sekolah pun nak kejar lampu kuning buat apa. Bagi laluan dekat budak sekolah, berapa minit sangat lampu tu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.