Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Seorang pekerja kilang yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) bisu maut selepas motosikal yang ditungganinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak sawit dalam satu kejadian di Jalan Sungai Ular hari ini.
Dalam kejadian jam 1.15 petang mangsa Nur Almass Zasmi, 23 tahun dari Ladang Somme, Serdang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kulim,Superintendan Azhar Hashim berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersendirian dan keadaan jalan basah serta hujan lebat.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian kemalangan mendapati mangsa dari arah Serdang menghala ke arah Sungai Ular dan lori tangki minyak kelapa sawit dari arah Sungai Ular menghala ke Serdang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah hilang kawalan dan motosikalnya terbabas jatuh di atas jalan dan mangsa terperosok di bawah lori.
“Mangsa dipercayai di gilis tayar belakang lori terbabit dan meninggal di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,”katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu treler berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, siasatan lanjut diteruskan.
Katanya mayat mangsa kemudian di hantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.
Katanya kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE