KUALA LUMPUR – Pelarian etnik Rohingya dikesan menceroboh masuk ke Malaysia sepanjang tahun berikutan faktor senang untuk ‘cari makan’ atau mencari pekerjaan di negara ini.
Mengakui perkara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, mereka memasuki negara ini tidak bergantung kepada hari-hari tertentu.
“Sebelum PKP lagi mereka sudah masuk ke negara kita. Tak ada kena mengena dengan PKP, sekarang pun ada sahaja yang seludup masuk ke sini.
“Apa yang kita nampak, mereka akan berusaha masuk ke negara ini apabila adanya ruang dan peluang. Mereka tak peduli, sebab itulah penguat kuasa kita yang mengawal sempadan tak boleh alpa.
“Tidak dinafikan mereka memang suka masuk ke Malaysia kerana senang nak cari makan dan cari kerja. Bagi mengelak daripada dicekup, mereka sanggup mengaku sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati etnik Rohingya menjadikan jalan laut sebagai laluan utama untuk bolos masuk ke negara ini.
“Mereka dikesan menggunakan jalan dugong (laluan laut) untuk memasuki sempadan negara iaitu melalui Kedah di Langkawi dan juga Kelantan melalui Sungai Golok yang mana mereka akan dibawa masuk oleh tekong.
“Sebaik memasuki sempadan negara, mereka akan menggunakan sama ada jalan tikus atau jalan gajah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Hasil siasatan kita mendapati, mereka dipercayai membayar tekong antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang bergantung jarak perjalanan, kalau nak pergi ke Kuala Lumpur mungkin harganya akan bertambah. Bayangkan jika tekong bawa 10 pelarian, mereka boleh raih RM15,000 pada satu-satu masa,” ujarnya.
Jelas beliau, kebanyakan tekong ini merupakan rakyat negara ini yang memang aktif melakukan kerja penyeludupan.
“Mereka tidak tertumpu kepada pelarian Rohingya sahaja, bahkan turut menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara-negara lain juga.
“Disebabkan itu tindakan tegas harus diambil terhadap mereka kerana merekalah dalang yang cuba membawa masuk pelarian ke negara ini,” ujarnya.
Tegas Hazani, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang berani mencabar kedaulatan negara sehingga sempadan negara dibolosi.
“Penguatkuasaan diteruskan sepanjang masa tak kira sebelum Aidilfitri atau selepasnya.
“Tumpuan kita tidak kepada etnik Rohingya sahaja, bahkan juga terhadap PATI dari Myanmar, Indonesia dan sebagainya,” katanya. -KOSMO! ONLINE