fbpx

Erik Ten Hag berkuasa penuh di Old Trafford bina semula Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEN HAG bakal menjadi pengurus tetap United menggantikan Ralf Rangnick bermula musim panas ini selepas menandatangani kontrak sehingga Jun 2025. – AFP

MANCHESTER – Pengurus baharu Manchester United, Erik Ten Hag memberikan amaran kepada sebahagian besar pemain bintang kelab itu bahawa beliau tidak akan mengubah pendekatannya dalam menguruskan pa­sukan.

Menurutnya, beliau tidak akan menggadaikan prinsip dan falsafah bola sepaknya semata-mata untuk memuaskan keinginan beberapa pemain sambil mengakui bersedia untuk membina United dengan imejnya tersendiri.

Pengurus dari Belanda itu membuat keputusan meninggalkan Ajax Amsterdam pada peng­hujung musim ini setelah me­nerima kontrak yang ditawarkan oleh The Red Devils sehingga Jun 2025.

Ten Hag bakal ‘mewarisi’ skuad United yang rata-rata dibarisi nama besar termasuk bintang Portugal, Cristiano Ro­naldo, namun beliau memberitahu bahawa akan menggunakan kaedah ‘cuba dan uji’ untuk mencari formasi terbaik buat pasukan itu.

“Saya fikir itu lebih sesuai, tetapi saya akan sentiasa menjadi diri sendiri. Saya tidak akan mengubah pandangan saya me­ngenai cara pengurusan pasukan. Pemain yang ada akan menentukan cara pasukan akan bermain.

“Bagaimanapun, saya akan mengawal sepenuhnya apa yang perlu diberikan oleh pemain. Saya akan memberikan tugas kepada mereka, jika mereka gagal, mereka harus sedar di mana kedudukan mereka, tidak kira apa status mereka dalam pasukan.

“Saya tidak akan berkompromi mengenai perkara itu. Saya sudah memberitahu pihak pengurusan dan membuat permintaan tersebut sebelum mengambil keputusan menandatangani kontrak ini. Jika mereka tidak bersetuju, saya juga tidak akan bersetuju.

“Butang utama pasukan ini berada di tangan saya, hanya saya akan membuat keputusan mengenai pasukan ini. Saya tidak mahu menjadi diktator, tetapi saya mahu bekerjasama.

“Saya juga akan berada dalam setiap keputusan mengenai urusan sama ada membeli atau menjual pemain. Itu syarat yang saya berikan kepada mereka,” jelas Ten Hag. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI