SEGAMAT – Seorang pekerja terselamat selepas tersepit pada peralatan pengais tanah, traktor di sebuah ladang di Sungai Gemas di sini, pagi tadi.
Mangsa, Khairul Anwar Abu Danial, 23, mengalami kecederaan parah di kedua-dua tangan dan kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd. Hazim Abd. Razak berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.53 pagi tadi.
“Kemalangan membabitkan seorang mangsa dan sebuah jentera traktor. Mangsa dipercayai sedang memeriksa kipas besi pengais tanah di bahagian belakang traktor.
“Secara tiba-tiba mangsa tersepit dan mengalami kecederaan. Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa dihantar ke pusat rawatan berhampiran oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diberikan rawatan lanjut.- KOSMO! ONLINE