LONDON – Seorang lelaki Britain yang berkawan dengan seekor gagak, bimbang burung itu mati kerana tabiatnya yang gemar menghisap rokok, lapor akhbar Mirror UK.
Pete Catt, 37, rapat dengan seekor gagak bernama Craig selepas burung itu datang melawatnya setiap hari ketika dia berkebun.
Gagak hitam itu akan menyambar rokok Catt. Lelaki itu dan Craig akan merokok bersama-sama menyebabkan dia semakin rapat dengan haiwan itu.
Bagaimanapun, Catt khuatir ketagihan burung itu menghisap rokok akan membawa kesan buruk.
Catt yang menetap di Bexhill, England berkata, dia dan Craig mula berkawan apabila burung itu mengekorinya ketika dia menggali tanah di kebun.
Burung itu kerap membawa putung rokok masih menyala dan dilihat semakin ketagih dengan rasa tembakau.
“Pada suatu hari ketika saya menggulung rokok, ia menyambarnya. Saya menawarkan api dan ia kelihatan mengangguk kepala.
“Selepas itu, jika saya ingin merokok, ia akan sertai saya,’’ kata Catt.
Malangnya, Craig dikatakan tidak mengunjunginya lagi sejak Oktober tahun lalu dan Catt bimbang rokok menyebabkan kematian haiwan itu. – Agensi