GEORGE TOWN – Polis giat mengesan rakan penyewa kepada lelaki warga Indonesia yang mayatnya ditemui terjatuh dalam kaki kirinya diikat rantai besi di sebuah apartmen di Jelutong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya masih menjejaki lelaki berketurunan Serani berusia 52 tahun itu yang dipercayai menghilangkan diri sebaik kejadian berlaku.
“Kita masih mengesan rakan si mati yang menyewa di inap desa berkenaan bagi membantu siasatan. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada si mati terjun dari tingkat lapan atau sebaliknya.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Pulau Pinang pada Isnin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berusia 33 tahun di pekarangan tempat meletak kereta di bawah perumahan itu kira-kira pukul 5.30 petang.
Mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan kaki kirinya berantai besi selain mengalami pendarahan di kepala. Kematian mangsa ketika ini diklasifikasi sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE