PARIS – Penyerang prolifik Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menerima tawaran kontrak baharu daripada pasukan itu yang dianggarkan bernilai €50 juta (RM234.26 juta) setahun.
PSG sanggup melakukan apa sahaja cara untuk memastikan Mbappe kekal di Parc des Princes musim depan termasuk menjadikan bintang sensasi Perancis itu sebagai pemain termahal kelab berkenaan.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu juga dikatakan bakal menerima bonus lumayan jika bersetuju untuk menurunkan tandatangannya dalam satu rundingan kontrak di Doha minggu ini.
Difahamkan, Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi turut menjemput ibu Mbappe, Fayza Lamari menyertai perbincangan itu dalam usaha memujuk penyerang berusia 23 tahun tersebut kekal beraksi di Paris.
Situasi itu pastinya membuatkan Mbappe berada dalam dilema ketika ini memandangkan dia berhasrat untuk menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid musim depan.
Sebagai rekod, Mbappe yang akan tamat kontrak dengan PSG pada 30 Jun depan, meledak satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Angers SCO dalam aksi Ligue 1 baru-baru ini.
Kemenangan itu menyaksikan Les Parisiens kini hanya perlu mengelak daripada tewas dalam lima aksi terakhir untuk ditabalkan sebagai juara Ligue 1 musim ini.
Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu ketka ini mempunyai kelebihan 15 mata ke atas pencabar terdekat di tangga kedua, Marseille. – AGENSI