SHAH ALAM – Polis menyiasat kejadian tular dua anggota pasukan keselamatan itu yang didakwa melakukan kekerasan ketika menahan seorang lelaki, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya mengesan satu video klip berdurasi seminit 25 saat menerusi laman Twitter mengenai dakwaan itu.
Katanya, polis mengesahkan individu di dalam video itu merupakan dua anggota polis dari JSJ negeri yang sedang membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan.
“Ekoran kejadian itu, dua laporan polis sudah diterima masing-masing dibuat oleh lelaki dan anggota polis berkenaan.
“Kedua-dua pihak mendakwa mengalami kecederaan ringan ketika proses tangkapan itu dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Baharudin, polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu dan kes
diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau saksi bebas yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE