KUALA LUMPUR – Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM943,054.80 menerusi dua serbuan berasingan sekitar Seri Kembangan dan Kajang semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pertama telah dilakukan di Putra Impian, Seri Kembangan kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Serbuan terbabit juga berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun. Polis turut merampas enam buah kenderaan dalam serbuan terbabit.
“Polis turut menjumpai 3,030 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM268,764.00 yang disembunyikan di dalam kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, serbuan kedua telah dilakukan di sekitar Taman Berlian, Sungai Jelok, Kajang yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai sejumlah 247 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam rumah tersebut serta sebanyak 73 karton disembunyikan di dalam kenderaan. Anggaran nilai rampasan sebanyak RM36,584.00 manakala anggaran nilai cukai sebanyak RM42,836.00.
“Keseluruhan rampasan melibatkan 3,350 karton rokok tidak bercukai bernilai RM305,348 dengan nilai cukai sejumlah RM452,406.80. Turut dirampas ialah tujuh buah kenderaan dan lima buah telefon bimbit bernilai RM185,300.00,” katanya.
Tambahnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM943,054.80. Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang dan Ibu Pejabat Polis Kajang, Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan salah satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Lembah Klang dan saya juga menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dserta menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE