fbpx

K2

Kecekalan hadapi penyakit seorang Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang menunjukkan Abe kelihatan penat dan tidak bermaya di kerusi belakang kereta.- AFP

DILAHIRKAN dalam keluarga politik yang terkemuka di Jepun menjadikan nama Shinzo Abe, 66, tidak asing dalam kalangan rakyat negara itu.

Kredibiliti memerintah sebuah negara telah diwarisi daripada datuknya, Kishi Nobusuke yang merupakan bekas Perdana Menteri Jepun dari tahun 1957 hingga 1960.

Datuk saudaranya, Sato Eisaku juga pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri negara itu dari tahun 1964 hingga 1972.

Abe mula menyandang jawatan Perdana Menteri Jepun pada September 2006 sebelum meletakkan jawatan pada September 2007. Dia kembali menjadi Perdana Menteri pada Disember 2012 dan melepaskan sekali lagi jawatannya berkuat kuasa kelmarin. Dengan perkhidmatan keseluruhan selama kira-kira empat penggal atau 3,186 hari menjadikan dirinya Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Negara Matahari Terbit itu.

Perdana Menteri kedua paling lama berkhidmat di Jepun ialah Katsura Taro iaitu 2,883 hari diikuti Eisaku (2,797 hari).

Baru-baru ini, Abe membuat pengumuman mengejut apabila mengambil keputusan mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri Jepun ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Pemimpin itu menderitai penyakit kolitis ulseratif, iaitu radang pada usus besar yang dihidapinya sejak remaja.

Pengundurannya sebagai Perdana Menteri Jepun pada September 2007 selepas setahun memerintah juga adalah ekoran masalah penyakit yang sama.

Bagi era pemerintahan terbaharunya, Abe memaklumkan bahawa kesihatannya mula merosot sekitar pertengahan Julai lalu.

Oleh itu, beliau perlu menjalani rawatan terbaharu secara berkala dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

RAKYAT Jepun menonton pengumuman Abe meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri di kaca televisyen di luar sebuah bangunan di ibu kota Tokyo.- AFP

Enggan melakukan kesalahan dalam membuat keputusan-keputusan penting kerajaan kerana masalah kesihatannya, Abe lantas memilih mengundurkan diri.

“Justeru, dengan berat hati saya terpaksa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tugas ini.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Jepun kerana terpaksa meninggalkan jawatan ini yang berbaki satu tahun lagi ketika negara dan dunia sedang sengsara dengan Covid-19,” ucapnya sambil memberikan tunduk hormat baru-baru ini.

Sehingga kini, Jepun mencatatkan lebih 76,000 kes positif Covid-19.

Pengunduran Abe telah membawa kepada pelantikan Perdana Menteri Jepun baharu, Yoshihide Suga yang dilantik menjawat jawatan itu sejak kelmarin.

Menyorot kehidupan awal Abe, lelaki itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Seikei University, Tokyo sebelum mempelajari bidang polisi awam di University of Southern California, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi juga sangat tepat untuk menggambarkan dirinya apabila turut mewarisi karisma kepimpinan bapanya, Shintaro Abe yang merupakan bekas Menteri Luar Jepun sejak tahun 1982 sehingga 1986.

Selepas tamat pengajian, beliau bekerja sebagai setiausaha bapanya dan aktif dalam parti politik bapanya iaitu Liberal Democratic Party (LDP).

Abe yang memulakan kariernya sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 turut mengambil keputusan serupa pada tahun 2007 ekoran masalah penyakit tersebut.

Pada tahun 2012, beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri Jepun dan mengumumkan pengundurannya hujung bulan lalu.

Jepun yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi sukan Olimpik terpaksa menangguhkannya ke tahun hadapan kerana pandemik Covid-19.

Abe turut menyatakan kekesalan kerana tidak dapat menunaikan janjinya iaitu memaksa Korea Utara untuk kembalikan rakyat Jepun yang diculik beberapa dekad yang lalu.

Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Jepun selama hampir lapan tahun, Abe berjaya mendorong pertumbuhan ekonomi Jepun yang agresif dengan memperkenalkan polisi Abenomics.

Abenomics ialah strategi ‘tiga anak panah’ iaitu polisi kewangan agresif, penyatuan fiskal dan pertumbuhan strategi untuk mengakhiri deflasi dan kemelesetan ekonomi Jepun sejak tahun 1990.

“Saya akan meruntuhkan segala dinding yang menghadangi ekonomi Jepun dan merencana pintasan baharu demi pertumbuhan ekonomi. Itulah yang dinamakan Abenomics,” tegas Abe yang pernah mengungkapkannya semasa memperkenalkan polisi itu pada 2012.

Pemimpin itu juga mengambil langkah berani memperkuatkan pertahanan Jepun dengan menambah peruntukan untuk agenda ketenteraan Jepun.

Di samping itu, Abe giat menjalin hubungan berprofil tinggi dengan sekutu asing terutamanya Presiden AS, Donald Trump.

Abe pertama kali menjemput pemimpin AS itu ke Jepun pada November 2017 dan memberikan sambutan karpet merah kepada Trump walaupun terdapat perbezaan dasar dalam isu utama seperti perdagangan bebas dan Korea Utara.

Ketika lawatan pada 2019, Trump menjadi pemimpin asing pertama yang bertemu dengan Maharaja Jepun, Naruhito dan menghadiri kejohanan sumo sebagai tetamu istimewa.

Kedua-dua pemimpin itu mempunyai hubungan persahabatan yang sangat erat dan berkongsi kecintaan terhadap sukan golf.

Setelah bertahun-tahun mengadakan rundingan, kedua-dua negara itu menandatangani perjanjian perdagangan terhad (limited trade agreement) pada Oktober 2019.

Keadaan kesihatan Abe merosot dengan teruk beberapa minggu sebelum mengumumkan pengundurannya sehingga perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital. Ahli politik pembangkang juga sudah mula menyindir ‘adakah Abe masih mampu untuk memikul tugas ini?”

CNN melaporkan, pandemik Covid-19 turut dilihat menambah tekanan kesihatan Abe yang sudah sedia teruk apabila dia telah bekerja sehingga 147 hari tanpa rehat. Pada masa sama, ramai rakyat Jepun yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan kerajaannya dalam mendepani pandemik itu.

“Saya akan kembali bekerja dan berusaha untuk gamburu,” kata Abe kepada jirannya selepas pulang daripada rawatan di hospital. Gamburu ialah satu istilah baharu yang tular di Jepun bermaksud berusaha sehabis baik dan cekal walaupun di waktu sukar.

Bahkan, ada pihak yang mengaitkan Abe dengan stigma sosial di Jepun yang cuba ditangani kerajaan pimpinan Abe sendiri iaitu karoshi (mati kerana bekerja terlalu kuat).

Seorang penganalisis politik Jepun, Koichi Nakano berkata, hebahan berterusan tentang isu kesihatan Abe dan kegigihannya bekerja dalam masa amat panjang mungkin menggambarkan beliau seorang yang tabah tetapi hal itu akhirnya mungkin akan memakan dirinya.

“Dalam banyak cara, saya rasa inilah (meletak jawatan) cara paling baik yang patut dilakukannya,” katanya.

Tambah Nakano, tindakan itu juga boleh menghentikan segala kritikan sebelum ini yang menuduh pemimpin negara ini mengabaikan rakyat sewaktu masalah ekonomi dan pandemik ini.

Rentetan pengumuman pengundurannya itu, rata-rata pemimpin dunia turut mendoakan kesejahteraannya.

“Saya berasa sedih dengan berita ini kerana Abe merupakan sahabat baik saya. Beliau seorang pemimpin yang sangat mencintai negaranya,” kata Trump.

Jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lijian pula berkata, hubungan China dan Jepun telah kembali ke landasan yang tepat mutakhir ini dan mencapai banyak perkembangan baharu.

“Kami mengakui usaha-usaha penting yang dilakukan oleh Abe untuk mencapai tujuan ini. Semoga beliau kembali sihat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI