PETALING JAYA – Polis berjaya menahan dua individu yang disyaki terlibat dalam kes pecah cermin kereta dan curi di sekitar Sungai Way di sini pada 8 April lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang pengadu warga tempatan berhubung kejadian.
“Mangsa telah parkir kereta di tempat letak kenderaan awam di sekitar Sungai Way di sini sebelum mendapati cermin kereta bahagian penumpang belakang sebelah kanan telah dipecahkan.
“Mangsa juga telah kehilangan dua buah komputer riba dan sebuah tablet dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pada 8 April lalu, kira-kira pukul 11 malam, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah membuat satu serbuan.
“Serbuan dilakukan di sekitar kawasan Jinjang dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 30-an.
“Suspek juga telah membawa polis ke sebuah kediaman di sekitar Jalan Ampang dan menjumpai pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.
“Antara yang dirampas adalah mata wang asing, barangan kemas, peralatan pecah rumah, barangan elektronik dan jam tangan pelbagai jenama,” jelasnya.
Tambah Mohamad Fakhrudin, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod.
“Penahanan kedua-dua suspek dipercayai telah menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kereta dan curi di sekitar kawasan Petaling Jaya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek masih dalam tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.