fbpx

Tembakan dilepaskan wajar, pegawai diancam bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latif Abdul Kadir (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada arak seludup bernilai RM1.8 juta yang dirampas pihaknya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tindakan Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah lori membawa muatan arak tidak bercukai seperti yang tular di media sosial adalah wajar.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hal itu kerana tembakan berkenaan dilepaskan selepas terdapat ancaman keselamatan terhadap pegawai bertugas.

Menurut beliau, sebanyak tujuh das tembakan telah dilepaskan dalam usaha untuk memaksa pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaannya.

“Tindakan itu wajar kerana lori tersebut telah memberi ancaman, pemandu berhenti mengejut dan mengundurkan kenderaan sehingga merempuh kenderaan jabatan, jadi apabila diancam ada kewajaran untuk melepaskan tembakan.

“Difahamkan sejumlah tujuh tembakan telah dilepaskan dengan tiga kesan ditemui, satu daripadanya turut mengena tayar belakang lori tersebut tetapi ianya tidak pecah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Kastam Johor, di sini hari ini.

Tambah Abdul Latif, lori 10 tan dengan muatan 22,400 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.8 juta itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran terdekat di selatan tanah air untuk kegunaan pasaran tempatan.

“Kita juga masih siasat berapa lama tempoh sindiket ini telah beroperasi namun dipercayai mereka kembali aktif selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

“Kita tidak menyangkal kemungkinan ada penglibatan pihak tertentu dan sekiranya dikenalpasti, tindakan tegas akan diambil,” katanya mengakui kedua-dua pintu sempadan antarabangsa di sini sering menjadi lokasi penyeludupan.

Menurutnya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyej 136(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata pihaknya berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 44 tahun yang membawa muatan arak seludup itu di Jalan Tuas-Lima Kedai, Iskandar Puteri, kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI