IPOH – Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai tiga tingkat di Jalan Pasir Puteh di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.04 pagi.
Katanya, jentera dari BBP Pasir Puteh dibantu BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan PBS Pasir Pinji dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran berlaku di tingkat tiga, berdasarkan maklumat orang awam, terdapat seorang mangsa berada di tingkat berkenaan.
“Anggota bomba menemui seorang lelaki dan wanita dalam keadaan sesak nafas di hadapan bilik yang terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa dibawa turun dan diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan BBP Ipoh sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.- KOSMO ONLINE