fbpx

Siti Nurhaliza tak marah, anggap peminat masih sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak melatah mahupun melenting dengan kritikan peminat yang tidak berpuas hati dengan kualiti ‘teknikal’ lagu raya terbaharunya, Lip Lap Raya.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 43, berlapang dada dengan segala kritikan yang disuarakan para peminat dan percaya, perihal tersebut adalah demi kebaikan bersama.

“Bagi saya, bagus ada yang memberi respons. Itu bermakna, mereka ambil berat dengan nyanyian dan hasil yang dibikin.

“Jadi, it’s okay kalau para peminat nak memberikan komen mereka dan sebagainya. Bagus untuk kita juga sebab kalau ada apa yang kurang, selepas ini kita boleh perbaiki. Tapi yang penting, mereka suka lagu Lip Lap Raya,” katanya kepada Kosmo! Online malam tadi.

Siti ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikan dirinya sebagai duta jenama Binary University.

Bagaimanapun, jelas pelantun lagu Biarlah Rahsia itu lagi, penghasilan lagu raya yang diluncurkan tersebut sudah menjalani proses perbincangan menyeluruh dengan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.

“Apapun produk yang dihasilkan, kita sudah berbincang dan kita sama-sama sepakat dengan hasil akhirnya.

“Normal untuk orang komen dan memberikan pendapat. Mana yang suka, alhamdulillah. Mana yang tak suka, mesti ada bahagian yang mereka rasa boleh jadi lebih bagus.

“Suarakan sahajalah pendapat kalian tapi apa yang boleh saya kata di sini, kami yang menjalin kerjasama dengan pihak profesional seperti Universal, kami memang dah capai kata sepakat,” katanya.

Tambah Siti, sebagaimana rasa prihatin para peminat buat dirinya demi kelangsungan kerjaya, begitu juga rasa hormat dan apresiasi dikembalikan kepada mereka.

“Mereka (peminat) ambil berat. Kita nak marah, kita sabar. Nak cakap lebih, kita bersabar sahajalah.

“Mereka prihatin sampai saya rasa kalau boleh, konsep album pun mereka nak tentukan. Semualah mereka nak buat.

“Orang masih ambil berat, sayang dan akui bakat seni saya. Kalau mereka tak sayang, mereka mungkin akan fikir, ‘lantak pi lah Siti nak buat apa pun kan’,” ujarnya tersenyum.

Terdahulu, lagu raya terbaharu Siti, Lip Lap Raya ciptaan Ajay Mai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan itu mendapat respons positif dalam kalangan peminat.

Sungguhpun begitu, ada dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati dari segi kualiti teknikal seperti single cover art lagu tersebut yang dikatakan seperti ‘tangkap muat’ dan tidak menepati piawaian dirinya sebagai penyanyi paling berpengaruh tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI