KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menempatkan anggota dan jentera di tiga kawasan rehat dan rawat (R&R) kedua-dua arah Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, tindakan proaktif berkenaan bertujuan memastikan tindakan lebih efisien dan cepat dapat dilakukan sekiranya berlaku kemalangan di kawasan lebuh raya.
“Penempatan seramai tujuh anggota dan sebuah jentera akan dibuat di tiga lokasi iaitu R&R Genting Sempah, R&R Temerloh dan R&R Gambang bermula 25 April sehingga 9 Mei nanti.
“Pasukan ini akan bertugas secara giliran selama 24 jam yang mana kita turut menyediakan unit Bantuan perkhidmatan Kecemasan (EMRS) iaitu ambulans bomba bersama jentera bomba,”katanya dalam sidang akhbar pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya sempena perayaan Aidilfitri 2022 di Kuantan City Mall di sini, hari ini.
Kempen berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Menurut Wan Mohamad Zaidi pihak bomba akan memastikan keperluan aset jabatan iaitu peralatan pemadaman dan penyelamatan dalam keadaan siap siaga serta mencukupi agar dapat memberikan respon dan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Bagi Jalan Persekutuan balai-balai bomba akan melakukan pemantauan dan rondaan ke kawasan-kawasan dikenalpasti berisiko tinggi kemalangan agar dapat bertindak dengan cepat,”katanya.
Sementara itu katanya, pihak bomba telah melakukan 311 pemeriksaan bangunan bagi tujuan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di premis-peemis berisiko tinggi daripada Januari hingga Mac 2021.
Katanya, bomba juga turut melaksanakan 77 kempen keselamatan kebakaran secara ‘door to door’ kepada orang awam, agensi kerajaan dan swasta serta agensi bukan kerajaan (NGO).
“Sebanyak 200 pasar raya dan lapan buah hotel seluruh negeri telah diperiksa bagi memastikan sistem kebombaan berada dalam keadaan baik, premis selamat daripada bahaya kebakaran, laluan tidak terhalang dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan premis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE