SAN FRANCISCO, CALIFORNIA – Bekas peninju profesional Amerika Syarikat (AS), Mike Tyson dilaporkan menumbuk seorang penumpang sebuah pesawat di lapangan terbang San Francisco pada Rabu lalu sehingga menyebabkan dahinya berdarah, lapor portal berita MailOnline semalam.
Tyson, 54, dilihat menghisap ganja pada 20 April lalu di Bukit Hippie yang terkenal di San Francisco. Bekas juara tinju itu dirakam berada di tengah-tengah kepulan asap ganja ketika orang ramai mengerumuninya.
Tyson bagaimanapun mendakwa dia bertindak balas terhadap seorang penumpang yang menganggu dan membaling botol air ke arahnya.
“Malangnya Tyson terlibat dalam insiden penerbangan dengan seorang penumpang agresif yang mula mengganggunya dengan membaling botol ke arahnya ketika dia berada di tempat duduk semasa menaiki pesawat berkenaan,’’ kata wakil Tyson kepada DailyMail.com menerusi emel.
Rakaman menunjukkan dua penumpang pergi ke belakang tempat duduk Tyson lalu berbual dengannya.
Tyson melayan mereka dengan baik tetapi kemudian menjadi bosan selepas peminat itu tidak berhenti bercakap dengannya. Dia meminta peminat itu diam tetapi mereka terus bercakap.
Tyson kemudian berdiri lalu menumbuk muka dan dahi lelaki itu. Rakaman tidak menunjukkan situasi ketika botol air dibaling ke arahnya.
Polis San Francisco memberitahu akhbar TMZ bahawa anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan menahan dua penumpang yang dipercayai terlibat dalam pertengkaran itu.
Seorang daripada mereka telah dirawat kerana mengalami kecederaan tetapi memberikan tidak memberikan butiran terperinci mengenai kejadian itu dan enggan bekerjasama lebih lanjut dengan siasatan polis.
Tidak jelas sama ada Tyson akan didakwa berhubung insiden tersebut – Agensi