MOSCOW – Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov meluahkan rasa hairan apabila mendengar kenyataan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang mendakwa beliau tidak menerima sebarang draf perjanjian damai dari Rusia, lapor laman berita RT semalam.
Sehari sebelum kenyataan itu, Peskov mengumumkan bahawa Rusia telah menghantar draf perjanjian damai kepada delegasi Kiev.
Beliau turut menekankan bahawa semua keputusan sekarang terletak di tangan Ukraine.
Namun begitu, Zelenskyy ketika muncul dalam sidang Parlimen Kesatuan Eropah (EU) secara maya, menafikan menerima atau diberitahu apa-apa mengenai kertas cadangan tersebut.
“Saya yakin tiada yang seumpamanya diserahkan atau dimaklumkan kepada saya,” kata Zelenskyy.
Peskov bagaimanapun menyatakan bahawa beliau sudah dapat mengagak reaksi delegasi Ukraine terhadap kertas cadangan tersebut.
“Draf perjanjian damai terbaharu kami telah diserahkan kepada delegasi rundingan Ukraine, jadi kami akan terus menunggu jawapan,” katanya kepada media. – Agensi