KUALA LUMPUR – Hampir setahun menyepikan diri daripada bidang hiburan, selebriti terkenal Neelofa bakal kembali aktif dalam dunia pengacaraan tidak lama lagi.
Menurut pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 33, itu, keputusan untuk kembali menjalani karier seni telahpun dibincang bersama suami yang juga pendakwah bebas, Haris Ismail.
Bagaimanapun, bekas pengacara program MeleTOP itu berkemungkinan untuk tidak lagi meneruskan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
“Jika untuk bidang lakonan, mungkin tidak rasanya.Neelofa nak kembali aktif ke dunia hiburan
“Insya-Allah selepas berbincang dengan suami, saya akan muncul dengan sebuah program bual bicara tidak lama lagi. Nanti kami akan kongsi, mungkin selepas raya,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Katanya, pengurusan keluarga terutama anak sulungnya, Muhammad Bilal yang kini berusia tiga bulan dan bisnes yang semakin berkembang menjadi keutamaan ketika ini.
“Fokus saya kini lebih kepada bisnes dan semestinya untuk anak tersayang, Bilal.
“Kalau boleh saya tak nak tinggalkan dia terlalu lama dengan pembantu. Saya nak jalankan rutin sebagai ibu itu lebih daripada sekarang.
“Kerja-kerja berkaitan bisnes pun boleh dijalankan dari rumah. Sama juga macam program dalam industri pun, tidak mengambil mana yang lama,” katanya lagi.
Mengulas mengenai membenarkan isteri kembali aktif dalam bidang seni, Haris memberitahu dia bersetuju dengan perkara tersebut selepas hasil perbincangan bersama Neelofa.
“Alhamdulillah kami sudah berbincang mengenai perkara ini dengan terperinci kerana ada imej agama dibawa dan perlu banyak berhati-hati.
“Dia juga boleh ikut. Banyak pun dia dah patuh, pakaian pun dia taat pada perintah Allah SWT. Jadi kita bagi dia ruang berkarya dalam perkara yang dia sudah biasa buat.
“Tentang kerjaya lakonan, kita tak kata tidak mahu terbabit langsung tetapi ketika ini itu bukan keutamaan sebab sekarang sibuk dengan perniagaan,” ujarnya.
Sebagai info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan popular itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE