SHAH ALAM – Sebanyak 4,383 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Selangor, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah itu merangkumi 103 kluster HFMD iaitu 497 kes dengan 95 peratus daripada jangkitan berlaku di taska, tadika dan pusat jagaan harian.
Katanya, penyakit HFMD berpunca daripada enterovirus dengan majoriti kes oleh Coxsackievirus A16 (CA16) dan Enterovirus 71 (EV71).
“Virus ini merebak melalui kontak iaitu permukaan atau peralatan tercemar dengan air liur, cecair lepuh (blister) atau najis pesakit HFMD.
“Biasanya jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki dan mulut. Hampir keseluruhan pesakit pulih tanpa rawatan dalam tempoh tujuh ke 10 hari,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Sha’ari, jangkitan EV71 bagaimanapun boleh mengakibatkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.
“Bagi kes yang dilaporkan tahun ini, majoritinya adalah jangkitan CA16 (33 peratus) dan EV 71 (20 peratus). Manakala, lain-lain (bukan CA16 dan bukan EV71) pula adalah sebanyak 47 peratus,” ujarnya.
Beliau menggesa orang ramai terutama pengusaha dan penjaga kanak-kanak supaya mengambil langkah berwaspada termasuk memastikan kebersihan premis dan peralatan yang digunakan.
“Selain itu, saringan di pintu masuk perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD, mengamalkan kebersihan diri dan melaporkan kluster kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE