PETALING JAYA – Baru-baru ini menjadi bualan ramai sebuah video yang dikongsikan seorang lelaki memaparkan isterinya sedang menikmati hidangan di sebuah restoran makanan segera pada waktu siang ketika bulan puasa.
Menerusi perkongsian tersebut, katanya dia hanya menemani isterinya makan sahaja disebabkan wanita itu sedang mengandung dan tidak larat untuk berpuasa.
“Jam baru pukul 4 petang, dia dah lapar, terpaksalah ku turuti, orang mengandung kan tak boleh puasa, abang teman sahaja,” kata lelaki tersebut
Apa yang menimbulkan rasa kurang senang orang ramai adalah wanita itu dikatakan tidak mempunyai rasa malu kerana dilihat terbuka makan di khalayak sedangkan dia beragama Islam dan di bulan Ramadan.
Antara teguran lain yang diberikan oleh pengguna media sosial adalah meminta agar mereka berdua lebih menghormati bulan mulia ini serta orang lain yang sedang berpuasa.
“Kalau tak puasa pun kak, makan sorok-sorok, bukan siap buat video masuk TikTok, lagi pun takut ada yang pandang dan salah faham, malu orang Islam,” komen seorang pengguna.
Selain itu, ada juga yang mempersoalkan adakah benar orang mengandung tak boleh puasa, sedangkan dia mampu dan mempunyai tenaga untuk melakukan kewajipan tersebut.
“Memang orang mengandung tak boleh puasa?, bukan yang memudaratkan sahaja dibenar berbuka, tapi itu nampak sihat elok ja, makan pun memilih,” soal pengguna lain. – KOSMO! ONLINE