SERI KEMBANGAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menjalankan Program Jelajah Ops Selamat ke-18 Sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memberi pendedahan akan kepentingan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, program itu dilaksanakan selama tiga hari bersama Petronas serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
“PDRM melalui Program Go To Safety Point (GTSP) melibatkan 47 buah stesen minyak Petronas terpilih di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita akan berkonvoi ke stesen minyak terpilih dan menjalankan advokasi sambil menyantuni masyarakat agar mematuhi peraturan demi keselamatan diri dan keluarga di jalan raya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jelajah Ops Selamat ke-18 Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Go To Safety Point di Stesen Petronas Solaris Putra, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Ops Selamat ke-18 Sempena Hari Raya Aidilfitri akan dilancarkan secara rasmi pada 26 April dan operasi bakal bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
Sementara itu katanya, anggota GTSP bertanggungjawab melakukan tindakan awal jika berlaku situasi kecemasan ketika orang ramai bergerak ke kampung halaman masing-masing kelak.
“Kita akan terus komited memantau perkembangan semua jalan utama di seluruh negara bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan selamat.
“Selain itu, JPJKK akan memastikan aspek keselamatan harta benda di premis kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dan terjamin,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE