fbpx

Dulu peguam, kini usahawan berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK SARINA langsung tidak pernah kesal dengan keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang perundangan demi bergelar usahawan.

SIAPA pernah sangka, kerjaya yang kita idam dan impikan sejak di bangku sekolah terpaksa dilepaskan dek minat lain yang kunjung tiba. 

Itu seperti apa yang dialami Datin Dr. Nik Sarina Hashim yang terpaksa melepaskan jawatan sebagai peguam setelah bertahun lamanya berkecimpung dalam kerjaya idaman ramai tersebut.

Kongsi Nik Sarina, sebelum menceburkan diri dalam perniagaan, dia sebelumnya terjun ke dalam bidang perundangan dengan beberapa jawatan yang pernah digalasnya. 

“Saya masih ingat, pertama sekali saya bekerja dalam bidang perundangan sebagai Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaysia dan Majistret di Shah Alam, Selangor. 

“Beberapa tahun selepas itu, saya bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan seterusnya memilih peguam dalam bidang perbankan dan korporat sebagai kerjaya terakhir.

“Entah macam mana, bila sudah lama bekerja dalam bidang perundangan, hati ini teringin pula nak ada sebuah bisnes sendiri. Maka, bermulalah titik tolak saya dalam bidang perniagaan kosmetik,” katanya memulakan bicara bersama Aura. 

Cerita Nik Sarina lagi, dia langsung tidak merasa terkilan apatah lagi sesal dengan keputusan drastiknya yang mungkin dianggap pelik bagi sesetengah orang.

SOKONGAN berterusan daripada kakitangan, ejen dan pengedar menjadi tulang belakang dalam memacu perniagaan kosmetik yang diasaskan Nik Sarina.

Akuinya lagi, sebelum tercetusnya idea untuk membuka perniagaan label kosmetik sendiri, dia terlebih dahulu pernah memasarkan pelbagai produk-produk lain di pasaran.

“Sebelum tercetusnya idea mengasaskan Slae Cosmetics, saya beberapa tahun sebelum ini ada menjalankan perniagaan memasarkan produk orang lain terutama barangan kosmetik.

“Daripada situ, saya dapat melihat bagaimana produk yang berkualiti boleh pergi jauh dan peluang bertahan untuk satu jangka masa yang panjang,” ujarnya.

SYARIKAT yang diasaskan Nik Sarina kini mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang terletak di ibu negara.

Ditebak mengenai cabaran yang dilalui sepanjang mengasaskan perniagaan, Nik Sarina yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat memberitahu, cabaran pasti tidak terlepas dalam apa jua perniagaan sekali pun. 

“Ya saya akui itu. Bukan senang untuk berniaga. Sepanjang melibatkan diri dalam bidang perniagaan ini, salah satu cabaran adalah bekalan. 

“Semasa saya aktif memasarkan produk syarikat lain, banyak peluang perniagaan tidak dapat dipenuhi gara-gara pembekalan yang mana pesanan daripada pembeli tidak dapat dipenuhi kerana pemilik produk tidak dapat merancang dan memberi stok yang cukup. 

“Ini juga menjadi salah satu sebab mengapa saya memulakan produk sendiri tetapi didalam bidang yang saya gemari iaitu kosmetik,” katanya yang merupakan anak kelahiran Singapura.

NIK SARINA bersama rangkaian produknya.

Berkongsi perancangan dan hala tuju syarikat, Nik Sarina, 49, memberitahu, dia sebelumnya amat berbangga kerana walaupun baru setahun jagung berniaga, syarikatnya mampu berkongsi rezeki dengan ramai pihak.

“Alhamdulillah walaupun kami masih baru di pasaran, saya telah berjaya lahirkan lebih daripada 500 ejen dan jumlah tersebut bakal meningkat ke dua atau tiga kali ganda menjelang hujung tahun ini. 

“Tidak setakat menjalankan perniagaan secara fizikal, kami juga melakukan jualan menerusi eksport ke beberapa buah negara secara luar dan dalam talian,” katanya. 

Menoktahkan perbualan, Nik Sarina memberitahu, dia juga bakal melebar luas barisan produk sedia ada kepada rangkaian lain dan memfokuskan perniagaannya ke Singapura dan Brunei selain pasaran domestik.

Bagi yang berminat untuk sama-sama menjana pendapatan bersama Slae Cosmetics bolehlah melayari laman web www.slae.com.my atau menerusi Instagram @slae_hq dan Facebook @slae.hq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI