JOHOR BAHRU – Dua pemandu termasuk seorang lelaki warganegara Singapura ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk menerusi satu operasi yang dijalankan di Jalan Sutera Danga, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan sejumlah 23 notis saman atas pelbagai kesalahan lalulintas dikeluarkan.
Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 61 buah kenderaan telah diperiksa dengan lima pemandu dikenakan ujian pernafasan, sementara hanya dua daripada mereka didapati memandu dalam keadaan mabuk.
“Sasaran operasi ini adalah kepada pengguna jalanraya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
“Kaedah untuk mengesan alkohol dalam badan dibuat melalui ujian saringan awal menggunakan alatan SD2+, sekiranya ujian awal melebihi had ianya akan disusuli dengan ujian hembusan menggunakan alatan EBA-II,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, 23 notis saman yang dikeluarkan melibatkan 14 notis langgar lampu isyarat, lima notis menggunakan telefon bimbit, dua notis tiada lesen memandu serta masing-masing satu melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.-KOSMO! ONLINE