fbpx

Antz Gaming Studio nadi para atlet e-Sukan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTZ Gaming Studio yang berkeluasan 1,400 kaki persegi dengan konsep santai itu juga merupakan pusat latihan atlet untuk Sukma dan Masum.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

MEMPUNYAI minat mendalam terhadap sukan elektronik (e-Sukan) telah memberi ruang kepada anak muda ini mengorak langkah untuk meningkatkan pembangunan industri e-Sukan dalam kalangan peminat permainan video kompetitif itu di Pulau Pinang.

Bekas penuntut Diploma Perbankan Islam di sebuah kolej swasta, Zulhilmi Salim, 29, berkata, dia yang bermula sebagai pemain e-Sukan FIFA memiliki pengalaman selepas menyertai beberapa kejohanan di Pulau Pinang sejak dua tahun lalu.

Malah, Zulhilmi pernah tersenarai sebagai 32 pemain terbaik daripada 200 peserta dalam pertandingan Rah Rah Russia pada tahun 2018.

Menurutnya, idea membuka pusat e-Sukan yang dikenali sebagai Antz Gaming Studio di Bayan Lepas, Pulau Pinang adalah disebabkan sambutan memberangsangkan terhadap permainan video dalam kalangan anak muda di negara ini.

Katanya yang juga peminat pasukan Liverpool, Antz Gaming merupakan perniagaan keluarga yang diusahakan bersama isteri, Nurin Najmina Fauzi, 30, dan bertujuan untuk menggilap bakat peminat e-sukan FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES) di negeri ini sekali gus melahirkan lebih ramai pemain bertaraf profesional.

ZULHILMI (kanan) dan isterinya, Nurin Najmina berusaha menjalankan perniagaan permainan video selain bertujuan menggilap bakat-bakat baharu dalam e-Sukan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Sejak beroperasi pada Februari tahun ini, lebih 300 pemain e-Sukan telah digilap bakat menerusi tiga penganjuran kejohanan FIFA dan PES yang diadakan di studio ini sejak Julai lalu. Terbaharu, kami menganjurkan FIFA Malaysia Day yang disertai seramai 22 peserta pada 16 September lalu.

“Menerusi penganjuran sebegini, kita berpeluang mengketengahkan e-Sukan ke peringkat lebih tinggi selain melahirkan lebih ramai pemain sukan elektronik yang berasal dari Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zulhilmi mendedahkan, studio yang berkeluasan 1,400 kaki persegi dengan konsep santai itu juga dijadikan sebagai pusat latihan dua atlet masing-masing bertanding untuk Sukan Malaysia (Sukma) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).

“Saya hanya bertindak sebagai pemerhati dan mereka (atlet) menjadikan studio ini sebagai medan latihan sebelum menghadapi perlawanan sebenar.

“Pada masa sama, studio ini juga berpotensi menjadi sebuah platform untuk mengasah bakat peminat-peminat sukan elektronik dengan menjadikan atlet sebagai ‘role model’,” ujarnya yang turut menambah, sambutan luar biasa diterima daripada pelanggan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama Mac lalu.

Mengenai cabaran dalam menyediakan perkhidmatan e-Sukan, anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menarik minat golongan muda terhadap sukan tersebut termasuklah kekerapan penganjuran kejohanan, pemberian hadiah yang lumayan serta diskaun istimewa buat pelanggan.

Antz Studio Gaming merancang menyediakan konsol permainan video PlayStation 5 (PS5) selain mempunyai bilik streaming dan saluran YouTube sendiri.

“Selain memberi tumpuan terhadap permainan video, pemain juga berpeluang menemui lebih ramai rakan sekali gus berkongsi minat yang sama. Sukan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran tetapi dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kami berharap agar e-Sukan setanding dengan sukan dunia yang lain serta melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan yang beraksi di pentas dunia,” jelasnya.

Tambah Zulhilmi, studio berkenaan juga menawarkan perkhidmatan servis, menyewa permainan video PS4 serta menjual cakera padat dan aksesori permainan video.

Jelasnya, Antz Studio Gaming merancang menyediakan konsol permainan video PlayStation 5 (PS5) sebaik dilancarkan November nanti selain mempunyai bilik streaming dan saluran YouTube sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI