SHAH ALAM – Dua termasuk penjawat awam ditahan bagi membantu siasatan mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berjumlah lebih RM80,000 bagi kerja-kerja pendawaian elektrik sebuah sekolah.
Kedua-dua suspek masing-masing lelaki dan wanita berusia 47 dan 55 tahun ditahan pukul 12.50 tengah hari tadi di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek lelaki yang merupakan pengarah teknikal sebuah syarikat teknologi maklumat dipercayai telah mengemukakan invois melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik kepada sebuah sekolah pada tahun 2020.
Katanya, bagaimanapun kerja-kerja pendawaian itu disyaki tidak dilaksanakan.
“Perbuatan itu dipercayai dilakukan bersama dengan seorang penjawat awam wanita yang berkhidmat di sekolah tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Jelas beliau, permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok. -KOSMO!ONLINE