PUTRAJAYA – Sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuat perolehan serta pembelian aset daripada sebuah syarikat perabot telah dikesan oleh pihak lembaga tersebut.
LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, sindiket terbabit telah menyediakan dua kad nama palsu yang menggunakan nama pegawai LHDN bagi membolehkan mereka membuat pesanan pembelian peralatan perabot untuk kegunaan di pejabat LHDN berkenaan.
“Bagi meyakinkan lagi mangsa, sindiket ini turut menyediakan dokumen pesanan pembelian (purchase order) palsu bagi tujuan yang tidak bermoral ini.
“Dokumen tersebut mengandungi butiran jenis-jenis peralatan perabot yang ingin dipesan serta turut dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai LHDN,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut memberitahu, LHDN mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai lembaga bertujuan untuk memperdayakan mangsa.
Tambahnya, LHDN amat memandang serius terhadap perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, emel mahupun surat atau dokumen yang meragukan. – KOSMO! ONLINE