fbpx

Jadikan Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi pencetus semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD FAIZAL

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berharap Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi pada Mei depan mampu menjadi pemang­kin buat barisan atlet negara bagi mengharungi setiap kejohanan yang dianjurkan tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, motivasi atlet-atlet Malaysia pastinya berada pada tahap tertinggi memandangkan sudah dua tahun menyepi daripada sebarang temasya atau pertan­dingan.

Justeru, beliau menggesa atlet-atlet negara agar menampilkan aksi terbaik pada temasya dwitahunan itu bagi mendapatkan momentum untuk menghadapi Sukan Komanwel Julai nanti serta Sukan Asia September depan.

“Ini (Sukan SEA) adalah pembukaan buat kita dalam kejohanan antarabangsa selepas dua tahun tidak bersaing. Sudah tentu saya harap semua atlet dapat menunjukkan pencapaian terbaik.

“Kemudian, kita harap momentum terbaik yang ditampilkan oleh semua atlet pada Sukan SEA boleh dijadikan sebagai semangat untuk dibawa ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Ahmad Faizal juga percaya barisan atlet negara akan memberikan segala-galanya pada temasya di Hanoi nanti memandangkan sasaran awal yang diletakkan adalah 31 pingat emas serta 79 pingat keseluruhan.

Walaupun sedar saingan kali ini lebih mencabar berbanding edisi-edisi terdahulu, namun beliau tetap menggesa kontinjen negara untuk mengerah segala kudrat biarpun tidak mampu membawa pulang pingat.

“Secara peribadi, saya lebih harapkan atlet kita untuk memberikan aksi terbaik kerana apabila mereka menyarung jersi negara, mereka perlu fokus untuk mendapatkan kedudukan pertama.

“Sekiranya atlet tidak dapat bawa pulang pingat, namun jika mereka dapat memperbaiki ca­tatan peribadi, itu sudah cukup baik. Bagaimanapun, harapan kita tetap untuk bawa pulang pingat emas sebanyak yang boleh,” ujar beliau.

Sebagai rekod, pada edisi terdahulu yang berlangsung di Manila, Filipina, kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan menerusi 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI