fbpx

Awet muda, Zarul Umbrella rela ‘dituakan’ dalam drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARUL

PENYANYI dan pelakon Zarul Umbrella tidak kisah jika ‘ditua­kan’ dalam drama demi menghasilkan sebuah lakonan yang berkesan.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin yang sebelum ini pernah menjadi hero dalam drama, pada usia 49 tahun dia mula mendapat watak seorang bapa, datuk gatal dan lelaki tua.

Tetapi apa yang menjadi masalah apabila dia kelihatan lebih muda berbanding usia sebenarnya. Contohnya, dia bukan kelihatan seperti seorang bapa tetapi abang kepada watak anaknya.

“Masalah yang timbul adalah siapa yang akan menjadi anak saya dalam drama. Jika tersalah pilih, kami akan menjadi seperti abang dan adik, bukannya bapa dan anak seperti dalam skrip.

“Pernah berlaku dalam drama Cik Serba Tahu, Ako Mustapha jadi bapa saya tetapi kami kelihatan seperti abang dan adik. Sementara dalam drama Bukan Gadis Biasa, saya jadi bapa saudara kepada Remy Ishak, Nazim Othman dan Mas Khan.

“Apabila kami berada dalam satu ‘frame’, saya kelihatan seperti abang mereka bukannya bapa saudara. Penyelesaiannya, rambut saya perlu diubankan lebih lagi supaya kelihatan tua seiring dengan watak yang dibawakan,” kongsi Zarul.

BERWAJAH awet muda berbanding usia kadang kala menimbulkan ‘masalah’ buat Zarul terutama apabila dia diberi peranan watak sebagai bapa.

Ditebak bagaimana penerimaannya apabila tidak lagi memegang watak hero dalam drama, jelas Zarul, pada hari pertama terjun dalam dunia lakonan dia tidak berharap untuk dipilih sebagai watak utama sepanjang masa.

Berpijak di bumi yang nyata, Zarul yang membuat kemunculan semula dalam industri seni menerusi pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga, enam tahun lalu menyedari hakikat bahawa bintang realiti mempunyai tarikh luput.

“Sejak mula menjadi pelakon, saya tidak harap untuk menjadi hero sepanjang masa. Saya sedar diri dan berpijak di bumi yang nyata bahawa bintang realiti ada tarikh luput selama dua tahun.

“Selepas dua tahun, karier akan merudum sedikit tidak kisahlah penyanyi mahupun pelakon. Tetapi saya masih menerima watak hero jika bersesuaian dengan cerita dan watak sebagai lelaki berusia 40-an dan 50-an,” ujar Zarul.

Syuhud Qalbu

Sempena bulan Ramadan, Zarul buat pertama kalinya muncul dengan lagu kerohanian berjudul Syuhud Qalbu duet bersama bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris.

Kongsi bekas pramugara itu lagi, sejak kembali aktif dalam bidang nyanyian, dia sudah lama menyimpan impian menghasilkan sebuah lagu kerohanian dan tidak menyangka Fitri sendiri mempelawanya sekitar Mac lalu.

“Sebenarnya, saya dah lama teringin menghasilkan sebuah lagu kerohanian sempena Ramadan. Ramai penyanyi lain mengeluarkan lagu raya, jadi saya mahu sesuatu yang berbeza.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah agar diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan Allah maha mendengar doa hambanya. Akhirnya saya dihubungi oleh Fitri yang mengajak saya berduet dalam sebuah lagu,” kongsi Zarul.

IMPI Zarul, jika diberikan rezeki dan peluang, dia mahu mengeluarkan lagu berbentuk kerohanian setiap tahun.

Bercerita lanjut tentang lagu ciptaan komposer Azmeer itu jelas Zarul, Syuhud Qalbu bermaksud pandangan hati atau mengesakan pandangan Allah.

“Lagu Syuhud Qalbu sangat sedap, kalau menghayatinya mampu membuatkan orang menangis. Jika ada peluang saya mahu mengeluarkan single kerohanian setiap tahun.

“Tetapi jika ada rezeki tidak perlu tunggu bulan Ramadan. Apa kata setiap kali keluarkan single, saya tukar lagu-lagu cinta kepada cinta terhadap Allah. Sebab cinta itu bersifat universal dan boleh diterjemahkan mengikut interpretasi masing-masing,” ujar Zarul.

Dalam perkembangan lain, vokalis kumpulan Umbrella itu turut dilantik sebagai felo Pusat Latihan Teknikal (MEATECH) pada majlis pelancaran program-program diploma dalam industri penerbangan sempena kempen kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang, YEG Academy di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Menerusi kempen tersebut, YEG Academy yang berkerjasama dengan pusat latihan berkenaan sejak 2018 menawarkan pelbagai diploma dalam bidang penerbangan.

Antaranya, Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.

“Saya dilantik sebagai felo MEATECH selama setahun kerana dilihat seperti ikon dunia penerbangan tempatan dan kerap berkongsi kandungan tentang karier dunia awan biru menerusi saluran YouTube. Malah pengalaman selama 16 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines juga menjadi faktor.

“Tugas saya adalah berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan.

“Industri penerbangan bukan sekadar juruterbang, pramugara, pramugari dan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang, sebaliknya sangat luas termasuklah industri kargo dan karier perkhidmatan pengendalian darat yang bukan hanya ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” jelas Zarul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI