IPOH – Aplikasi TikTok menjadi pilihan polis Perak sebagai medium untuk menyampaikan maklumat dan mesej berkaitan jenayah penipuan dalam talian kepada orang ramai.
Ini kerana ia menyampaikan mesej dalam masa yang singkat namun berkesan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, usaha itu bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat meskipun pelbagai kempen telah dilaksanakan.
Katanya, dalam kebanyakan kes, mangsa terpedaya dengan helah sedangkan agensi kerajaan tidak berurusan melalui panggilan telefon, apatah lagi telefon bimbit.
“Sekarang, kita dapati platform terbaik adalah TikTok. Aplikasi ini bukan orang muda sahaja guna, malah menarik minat mereka yang berusia.
“Mungkin kita akan berkolaborasi dengan bank-bank tempatan buat peraduan agar orang ramai dapat memberi idea bernas dalam kita mendidik masyarakat supaya tidak lagi menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Institusi Kewangan negeri Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber turut dilakukan menerusi ceramah di masjid pada setiap hari Jumaat. – KOSMO! ONLINE