KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan menghargai golongan orang kelainan upaya (OKU) menerusi Kempen Riang Raya Maxis yang dilancarkan sempena perayaan itu.
Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, kempen bertujuan merapatkan rakyat melalui kemungkinan baharu dalam teknologi dan lagu raya itu dilaksanakan melalui komitmen Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia.
“Kempen Riang Raya Maxis menceritakan mengenai kehidupan pemuzik jalanan di mana mereka boleh mempersembahkan alunan lagu raya melalui kiub maya yang disediakan.
“Kiub itu ditempatkan di pusat beli-belah NU Sentral Kuala Lumpur dan Kota Bharu Mall, malah persembahan mereka juga akan dimainkan di Maxis Stores seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran filem Last Kopek sempena Kempen Riang Raya Maxis di sini tadi.
Turut hadir Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi.
Menurut Kam Leong, Maxis dan Persatuan OKU Sentral turut bekerjasama dengan pemuzik kurang upaya yang mana persembahan golongan itu akan dipaparkan menerusi platfrom kiub maya.
“Rakyat Malaysia juga boleh berkongsi rezeki dengan mengimbas kod QR pada kiub maya itu dan terus menderma kepada Persatuan OKU Sentral,” ujarnya.
Sementara itu, Ras Adiba turut melahirkan perasaan teruja atas inisiatif yang diambil Maxis dalam menghargai golongan OKU melalui pelancaran kempen berkenaan.
“Golongan OKU amat luar biasa dan mempunyai bakat berbeza, oleh itu mereka sering menjadi pengguna awal teknologi bagi membolehkan kehidupan lebih sempurna,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE