fbpx

Polisi kongsi prime mover jimat kos operasi syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wee Ka Siong ketika bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MOT di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pemain industri logistik kini mampu mengurangkan kos operasi syarikat apabila kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk memperluaskan polisi perkongsian prime mover (kepala lori) bagi kegunaan kumpulan anak syarikat.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bermula 1 September tahun lalu, pemain industri telah dibenarkan untuk berkongsi kepala lori dan semi- treler yang membawa kontena milik kumpulan syarikat dan menerusi fasa kedua, polisi itu akan diperluaskan lagi.

“Sukacita saya umumkan bahawa berkuat kuasa pada 5 Mei ini, pelaksanaan polisi baharu untuk membenarkan perkongsian kepala lori dan semi-treler diperluaskan kepada jenis luton atau kotak dan kargo am.

“Fasa pertama pelaksanaan polisi ini bertujuan membantu syarikat-syarikat logistik mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan industri logistik dan mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan mesyuarat bersama pemain industri logistik di Ibu Pejabat MOT di sini hari ini.

Ka Siong berkata, sebelum ini, kepala lori perlu didaftarkan kepada semi-treler dengan nisbah 1:7 yang dilihat mengehadkan kemampuan sesebuah syarikat logistik beroperasi secara optimum.

Namun kini dengan polisi baharu itu, setiap kepala lori boleh membawa semi-treler jenis luton atau kotak dan kargo am dimiliki oleh syarikat yang sama.

“Dulu terdapat banyak sekatan dan walaupun kepala lori milik syarikat logistik yang sama, ia tidak dibenarkan untuk membawa semi-treler yang tidak didaftarkan kepadanya.

“Pelaksanaan Fasa Kedua ini bagaimanapun adalah tertakluk kepada syarat-syarat pelaksanaan Fasa 1 dan hanya melibatkan anak-anak syarikat di peringkat pertama sahaja dengan pegangan ekuiti syarikat induk sekurang-kurangnya 51 peratus.

“Berat Dalam Muatan (BDM) kepala lori dan treler yang dibenarkan untuk pertukaran adalah tertakluk kepada BDM semi-treler atau Berat Gabungan Keseluruhan (BGK) penggerak utama yang terendah di antara keduanya,” ujar beliau.

Tambah beliau, penguatkuasaan ke atas kesalahan di bawah akta-akta yang terlibat dengan perubahan polisi itu juga adalah dikenakan ke atas kepala lori sahaja

“Pihak syarikat juga perlu mendapatkan Kelulusan Teknikal Kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum boleh memajukan permohonan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kebenaran itu juga hanya boleh digunakan untuk kenderaan yang dikategorikan di bawah jenis kenderaan yang sama sahaja contohnya kepala lori yang telah didaftarkan untuk menarik semi-treler jenis kotak tidak boleh menarik semi-treler jenis kargo am,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI