KUANTAN – Remaja berusia 16 tahun antara penagih dadah ditahan dalam serbuan sempena Ops Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan serentak di 11 daerah negeri ini bermula 18 sehingga 20 April lalu.
Remaja berkenaan antara 384 penagih terdiri daripada 375 lelaki dan sembilan perempuan berusia lingkungan 16 hingga 67 tahun yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, remaja terbabit yang merupakan penagih baharu ditahan dalam satu serbuan yang diadakan di sebuah Felda di Raub.
“Pihak polis juga berjaya merampas 145.07 gram syabu, 124.43 heroin, 2320.04 gram ganja, 3.84 gram erimin 5, 98.92 gram pil yaba, 28.18 liter air ketum dan 400.7 gram daun ketum dengan keseluruhan nilai rampasan dadah berjumlah RM42,462.
“Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM59,570, tujuh buah kenderaan keseluruhan bernilai RM138,500 dan barang kemas bernilai RM22,324 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM262,856,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini
Menurutnya, operasi yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang itu sekali gus berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya operasi berjalan serentak bukan sahaja tertumpu di kawasan Felda tetapi juga melibatkan tujuh jeti serta perkampungan nelayan di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.
Beliau memberitahu, operasi yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya melakukan 258 serbuan dengan menggempur 24 pot penagihan dadah yang telah dikenalpasti melalui risikan sebelum operasi.
“Daripada jumlah tangkapan itu juga seramai 56 orang merupakan tokan dadah dan 14 orang adalah ‘Wanted Person’, manakala 56 orang adalah penagih tegar di mana tindakan akan diambil di bawah Seksyen 36c Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut juga, seramai 14 orang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952, tujuh orang di bawah Seksyen 39A (2) ADB 1952, 24 orang di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, 57 orang di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952, tiga orang di bawah Seksyen 6 ADB 1952, 32 orang di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952, 224 orang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan 10 orang di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE