SEREMBAN – Seorang setiausaha politik Ahli Parlimen di negeri ini rugi RM3,000 selepas terpedaya dengan individu menyamar rakan dalam kejadian pukul 10.35 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd. Ghani berkata, ketika mangsa berusia 50 tahun berada di tempat kerja Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Seremban, mangsa telah menerima panggilan dari seorang perempuan tidak dikenali di talian 01161914781.
Menurutnya, mangsa diberitahu kereta pemanggil berkenaan telah dipecahkan dan telefon bimbit serta dompet telah hilang.
“Pemanggil meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang tunai sebanyak RM 3,000 kepada akaun Maybank 551520065784 atas nama William Wong Wee Lian.
“Mangsa ada bertanya kepada pemanggil tersebut dengan siapa sedang bercakap dan mangsa disuruh untuk meneka suaranya dan mangsa menyebut nama rakannya dan pemanggil tersebut mengiyakannya.
“Mangsa telah membuat transaksi secara dalam talian ke akaun tersebut kerana percaya rakannya dalam kesusahan. Bagaimanapun, pemanggil berkenaan sekali lagi meminta untuk membuat transaksi sebanyak RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Aibee lagi, mangsa mulai berasa curiga kerana pemanggil meminta bantuan buat kali kedua dan mangsa telah menghubungi nombor talefon sebenar rakannya.
Menurutnya, mangsa bertanyakan mengapa perlu menggunakan wang yang banyak, namun rakannya telah menafikan ada meminta wang dari mangsa.
“Mangsa yang sedar telah ditipu segera membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell dan mahu merujuk kes berkenaan kepada pihak bank,” ujarnya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. – KOSMO! ONLINE