PARIT – Dua beradik yang diselamatkan bomba dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Persiaran SIBC 1, Seri Iskandar awal pagi tadi meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.
Kejadian sekitar pukul 5 pagi itu mengorbankan Nor Fahmia Mohd. Fazlan berusia tujuh bulan bersama abangnya Muhammad Fahmi, empat tahun.
Kebakaran melibatkan bangunan tiga tingkat di mana bahagian bawahnya merupakan restoran tomyam manakala tingkat dua adalah kediaman pekerja.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 5.10 pagi dan segera ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kebakaran berlaku di tingkat dua yang mempunyai dua bilik menempatkan pekerja serta dua beradik tersebut.
“Semasa kejadian hanya tinggal dua kanak-kanak tersebut di tingkat dua, manakala ibu bapa dan pekerja lain berada di tingkat bawah sedang bersahur.
“Mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan manakala pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran pada tubuh,” katanya kepada pemberita di sini.
Barudin berkata kedua-dua beradik berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan disini.
“Api telah berjaya dipadamkan dalam tempoh 25 minit manakala bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian,” katanya. – KOSMO! ONLINE