SERI ISKANDAR – Dua mangsa melibatkan seorang kanak-kanak lelaki lima tahun dan bayi perempuan enam bulan diselamatkan dalam kebakaran rumah kedai di Bandar Seri Iskandar pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.07 pagi.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dikerah ke lokasi dibantu jentera BBP Parit.
“Kejadian melibatkan sebuah rumah kedai teres tiga tingkat yang mana kebakaran berlaku di tingkat dua yang menyebabkan kemusnahan 70 peratus.
“Terdapat dua mangsa dalam rumah tersebut yang berjaya diselamatkan bomba iaitu seorang kanak-kanak lelaki lima tahun dan bayi perempuan enam bulan,” ujarnya.
Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Operasi memadam sisa kebakaran yang diketuai oleh PBK I Shahidan Manas masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE