MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov menyatakan bahawa situasi semasa di Ukraine adalah berpunca daripada keinginan Amerika Syarikat (AS) dan Barat untuk memerintah dan mendominasi dunia, lapor majalah berita India Today kelmarin.
Menerusi temu bual eksklusif bersama majalah tersebut, Lavrov berkata, Barat ingin menunjukkan kepada dunia bahawa tidak akan ada sistem multipolar, sebaliknya yang wujud hanyalah unipolar (Barat).
Multipolar merupakan sistem di mana dunia dikuasai oleh lebih daripada dua negara yang mempunyai kuasa dan kekuatan hampir sama. Konsep unipolar pula merujuk kepada hanya satu negara atau rantau paling berkuasa yang memerintah dunia.
“AS dan Barat ingin mewujudkan situasi di mana Ukraine menentang kami (Rusia). Mereka membekalkan senjata kepada Ukraine,” kata Lavrov.
Tambah beliau, Barat jelas melanggar janji yang dibuat kepada kepimpinan Rusia dan mula meluaskan pengaruh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Eropah Timur selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.
“Mereka mendakwa bahawa NATO adalah pakatan untuk pertahanan dan bukannya ancaman kepada keselamatan Rusia,” tegas Lavrov.
Memberi contoh situasi ketika pilihan raya Presiden di Ukraine pada 2003, Lavrov berkata, Barat dengan lantang dan terbuka menggesa rakyat Ukraine supaya membuat pilihan antara Rusia dan Eropah.
“Barat menggesa rakyat Ukraine memilih sama ada mahu bersama Rusia atau Eropah.
“Selepas itu, Barat mula menarik Ukraine untuk menyertai Perjanjian Persatuan Kesatuan Eropah (EU). Perjanjian tersebut memperuntukkan cukai sifar untuk barangan Ukraine memasuki Eropah dan sebaliknya,” ujarnya.
Kata Lavrov, beliau pernah menyuarakan kebimbangan sekiranya Ukraine memeterai perjanjian dengan EU,kerana pada masa yang sama, Kiev mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Moscow.
“Pada 2013, Presiden Ukraine meminta EU menunda proses permeteraian perjanjian persatuan tersebut dan kami mencadangkan supaya Moscow, Kiev dan Brussels duduk semeja bagi membincangkan perkara itu.
“EU bagaimanapun menolak cadangan Moscow dan memberitahu kami bahawa ia bukan masalah mereka,” tegasnya.
Menjawab mengenai pencerobohan Rusia, Lavrov berkata, operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine yang diarahkan Presiden Vladimir Putin pada 24 Februari lalu adalah bertujuan untuk menyingkirkan tentera Ukraine dan fahaman nazi di negara itu.
Menurutnya, tentera Kremlin hanya menyasarkan serangan terhadap kemudahan ketenteraan di Ukraine.
“Tentera kami hanya menyasarkan kemudahan tentera dan bukannya orang awam. Askar Ukraine telah menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
“Jelas di sini Barat tidak memberi perhatian kepada fakta-fakta kami. Mereka memberi fokus kepada perkara palsu seperti apa yang mereka dakwa mengenai pembunuhan beramai-ramai di Bucha,” tegasnya. – AGENSI